Isteri Presiden China, Peng Liyuan memuji konsep Indonesia untuk mengintegrasikan kraftangan dengan pemerkasaan wanita, pembasmian kemiskinan dan pemuliharaan ekologi.
Beliau berkata demikian selepas mencuba teknik menganyam daun palma ketika lawatannya di Bali Indonesia, pada Selasa.
Peng menyatakan, kedua-dua negara boleh mengukuhkan kerjasama dalam bidang yang berkaitan dan menyumbang kepada pembanterasan kemiskinan serta pemeliharaan ekologi.
Difahamkan, beliau dijemput menghadiri aktiviti yang khusus disediakan untuk para pasangan pemimpin negara sempena sidang kemuncak ke-17 Kumpulan 20 (G20).
Diiringi Wanita Pertama Indonesia, Iriana, Peng bersama pasangan lain turut menyaksikan persembahan tarian tradisional Bali.
Selain itu, beliau juga tertarik dengan pameran alat muzik tempatan, pakaian, produk anyaman rotan, sulaman dan makanan organik.
Peng juga berpeluang mencanting corak logo sidang kemuncak G20 dan bunga pada beg tenunan.